PUTRAJAYA, 24 April — Memorandum berkaitan isu pengembalian tiga gajah bernama Dara, Amoi dan Kelat akan dipanjangkan kepada pihak pengurusan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) untuk diteliti dan diperhalusi.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu berada di bawah bidang kuasa ZTNS dan sebahagian daripada kerjasama rasmi antara zoo berkenaan dengan Tennoji Zoo Osaka di Jepun.
“NRES telah menerima memorandum daripada aktivis sosial Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara berkaitan isu ini.
“Memorandum itu akan dipanjangkan kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Mohamed Akmal Dahalan dan pihak pengurusan ZTNS memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa ZTNS,” menurut kenyataan itu.
NRES memberitahu memorandum berkenaan telah diterima oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) NRES Datuk Mas Rizal Mohd Hilmi, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Mohd Azman Mohd Ariffin, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Datuk Fakhrul Hatta Musa dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan S. Siva Kumar di bangunan NRES hari ini.
Media melaporkan sekumpulan aktivis dan badan bukan kerajaan menggesa kerajaan membawa pulang gajah milik negara, iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang dihantar ke Tennoji Zoo Osaka ekoran didakwa mengalami penderitaan serta tidak sesuai dengan persekitaran di sana.

















Tinggalkan Balasan