KUANTAN, 9 Ogos — Pahang terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan utama negara apabila berjaya merangkul sembilan anugerah pada Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2026 anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MiTDA) di Selangor, semalam.
Kerajaan negeri melalui Tourism Pahang menerima anugerah utama Kadar Purata Penginapan Tertinggi Terbaik di Malaysia, sekali gus membuktikan prestasi cemerlang sektor pelancongan negeri ini dan keyakinan berterusan pelancong terhadap pelbagai produk serta destinasi pelancongan yang ditawarkan di Pahang.
Tourism Pahang menerusi kenyataan hari ini memaklumkan Majlis Bandaraya Kuantan pula menerima tiga anugerah bagi kategori Inisiatif Pembangunan Pelancongan Terbaik, Destinasi Rekreasi Terbaik dan Program Pelancongan Lestari.
“East Coast Mall Kuantan pula menerima anugerah Pusat Membeli-belah Terbaik – Kuantan manakala LoVita Hotel Kuantan dinobatkan sebagai Hotel Bajet Terbaik – Kuantan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Tourism Pahang memaklumkan Resort World Genting menerima pengiktirafan sebagai Destinasi Peranginan Bersepadu Terbaik selain SkyAvenue turut meraih dua anugerah iaitu Destinasi Tanah Tinggi Terbaik dan Destinasi Percutian Keluarga Terbaik.
Pengurus Besar Tourism Pahang Nor Zahira Muhammad Azmi dalam kenyataan sama berkata pencapaian ini merupakan hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pengusaha pelancongan dan semua pemain industri yang sentiasa komited memperkukuh sektor pelancongan negeri.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu penghormatan kepada Pahang malah menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh usaha pembangunan dan promosi pelancongan,” katanya.
Beliau berkata Tourism Pahang akan terus bekerjasama dengan semua pihak dalam memperkasakan produk pelancongan negeri serta meningkatkan daya saing Pahang sebagai destinasi pelancongan pilihan di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
Pengiktirafan ini turut menjadi pemangkin kepada usaha berterusan Tourism Pahang dalam memperkukuh promosi pelancongan negeri sempena kempen “Visit Malaysia 2026 – Pahang First”.

















Tinggalkan Balasan