BUTTERWORTH, 23 Ogos — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan RM1 juta kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHPP), bagi projek pembinaan krematorium Hindu moden di Bagan, di sini.
Pengerusi LWHPP RSN Rayer berkata peruntukan tambahan itu, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi projek berkenaan meningkat kepada RM2.5 juta berbanding RM1.5 juta yang telah diluluskan Anwar, sebelum ini.
Beliau berkata peruntukan asal RM1.5 juta bagi pembinaan krematorium elektrik moden kedua di Pulau Pinang selepas kemudahan di Batu Lanchang itu, didapati tidak mencukupi untuk melaksanakan projek berkenaan yang amat diperlukan masyarakat Hindu, khususnya di Seberang Perai.
“Kelulusan tambahan ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan MADANI dan Perdana Menteri, dalam memastikan keperluan masyarakat pelbagai kaum dan agama diberikan perhatian secara adil,” katanya pada sidang media di tapak projek berkenaan di Jalan Siram di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam Kumaran Krishnan.
Sementara itu, Kumaran berkata kemudahan krematorium tersebut penting bagi menyediakan tempat yang lebih teratur, sesuai dan selesa untuk masyarakat Hindu melaksanakan upacara terakhir mengikut adat serta kepercayaan agama mereka.
Beliau berkata kewujudan kemudahan itu juga, dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat Hindu di Seberang Perai terhadap kemudahan krematorium, di lokasi yang lebih jauh.
“Ini merupakan satu kemudahan jangka panjang untuk manfaat masyarakat Hindu, khususnya di Seberang Perai dan kawasan sekitar,” katanya.
Kumaran berkata kelulusan peruntukan tambahan itu hasil permohonan dan usaha bersama dengan Lim dan Rayer, yang telah mengutus surat kepada Anwar bagi memohon peruntukan tambahan bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.
Beliau berkata proses tender bagi pembinaan krematorium berkeluasan kira-kira 4,000 kaki persegi itu, telah dibuka dan projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan, sekali gus membolehkan kemudahan tersebut digunakan oleh masyarakat.
















Tinggalkan Balasan