Program AI Untuk Rakyat Beri Peluang Belia Dalami Kemahiran Digital

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Program AI untuk Rakyat yang dibuka kepada belia Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun menerusi pemberian langganan percuma selama tiga bulan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) membuka peluang kepada golongan itu untuk mendalami kemahiran digital.

Pekerja swasta Nurul Farhanah Abd Wahab, 28, berkata kemudahan itu dapat mengurangkan kos perbelanjaan golongan belia yang menjadi golongan paling cenderung menggunakan teknologi AI pada hari ini.

“Sebelum ini, kalau mahu menggunakan aplikasi AI kita perlu membayar dan itu juga ada masanya terhad, tidak semua ciri boleh diakses.

“Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langganan AI percuma kepada anak muda, ini satu keuntungan kepada kami, terutamanya yang memang perlu melakukan pelbagai kerja dan dengan cepat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, penjawat awam N. Kuvineshwaren, 26, berkata peluang itu amat bermakna kepada golongan muda untuk meneroka teknologi AI yang menjadi semakin penting pada masa kini.

“Langganan percuma tiga bulan ini bukan sahaja memberi akses kepada alatan premium, malah dapat mendorong kami untuk meningkatkan kemahiran digital demi persiapan kerjaya masa depan,” katanya.

Sekretariat Mahasiswa Perak Mehamad Ezanie Mehamad Noor menyifatkan pengumuman itu sebagai inisiatif yang sangat baik untuk anak muda Malaysia kerana kemahiran digital bukan lagi satu pilihan tetapi telah menjadi keperluan dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi. 

“Peluang pembelajaran percuma ini memberikan ruang kepada 100,000 belia untuk mengenali, mempelajari dan menggunakan AI dengan lebih yakin.

“Paling penting, kita harap program sebegini bukan sekadar memberi ilmu, tetapi mampu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, keusahawanan dan peningkatan pendapatan anak muda.

“Ini masa untuk belia bukan hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi turut menjadi pencipta dan pemacu ekonomi digital negara,” katanya yang juga Pengerusi Belia Bukit Gantang.

Semalam, Perdana Menteri ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 mengumumkan enam ikhtiar segera untuk rakyat termasuk berkaitan AI.

Ikhtiar berkaitan AI itu terbuka kepada rakyat Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun, dengan 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI secara percuma selama tiga bulan termasuk IlmuChat, Gemini Enterprise, Wonderclip dan MuleRun.