Program “Quranic MADANI” Akan Dianjur Pada Skala Lebih Besar – Zulkifli

KUALA LUMPUR, 8 Mei — Kerajaan merancang memperluas penganjuran program kerohanian “Quranic MADANI” pada skala lebih besar bagi menyebarkan mesej kasih sayang, keamanan dan perpaduan secara lebih meluas dalam kalangan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata program dengan pengisian selawat, zikir, munajat dan tazkirah itu ialah landasan penting dalam membentuk keharmonian negara.

“Program Quranic MADANI kita mulakan pada hari ini, kemudian kita akan teruskan lagi secara berskala besar… kita ingin membawa mesej keamanan dan perpaduan untuk merapatkan lagi ukhuwah serta silaturahim dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Program Quranic MADANI: Night Reset – Bersatu dalam Saf di Bukit Bintang malam ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata mesej yang dibawa menerusi program itu ialah cerminan kepada aspirasi rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian.

“Mesej yang disampaikan ini adalah mesej kasih sayang, hormat-menghormati serta kesederhanaan untuk kita mewujudkan negara Malaysia yang aman, sentosa selain menjadi negara yang maju dan terbaik,” katanya.