Raja Muda Perlis Terima Menghadap Ketua Setiausaha SBPAC

KANGAR, 24 Julai — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC) Piyasiri Wattanavarangkul di Istana Arau, semalam.

Istana Arau memaklumkan Raja Muda Perlis bertitah pertemuan itu membuka ruang perbincangan dua hala bagi meneroka peluang kerjasama baharu serta memperkukuh kolaborasi sedia ada dalam pelbagai bidang yang mampu memberi manfaat bersama.

“Majlis menghadap itu menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Perlis dengan wilayah selatan Thailand yang telah terjalin sejak sekian lama berteraskan sejarah, budaya, agama serta ikatan kekeluargaan merentasi sempadan,” menurut Istana Arau dalam kenyataan hari ini.

Hadir mengiringi baginda ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Noor Azman Abdul Rahman, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim, Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia Brig Jen Datuk Mohd Zaini Hashim serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor.

Antara fokus utama perbincangan ialah usaha memperkukuh warisan Melayu-Islam yang menjadi identiti bersama masyarakat di negeri itu dan wilayah selatan Thailand.

Selain itu, meneliti potensi kerjasama dalam pemerkasaan dan pengembangan bahasa Melayu, pengukuhan jaringan pengajian Islam melalui institusi pengajian tinggi di Perlis, penganjuran festival kebudayaan serta usaha memelihara dan mempromosikan seni warisan tradisional sebagai khazanah bersama.

Kerjasama dalam hal ehwal agama turut menjadi agenda penting meliputi aspek pengurusan dan pentadbiran masjid, pengajian al-Quran serta pembangunan industri halal yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan ummah di kawasan sempadan.

“Tumpuan turut diberikan kepada pelaksanaan program pertukaran pelajar dan guru, kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peluang penawaran biasiswa bagi membolehkan pelajar dari wilayah selatan Thailand melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Perlis, khususnya di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ),” menurut kenyataan itu.

Dalam sektor pelancongan, perbincangan menjurus kepada usaha memperkukuh promosi pelancongan rentas sempadan melalui pembangunan laluan pelancongan warisan yang menghubungkan Perlis dengan Satun, Songkhla, Yala, Pattani dan Narathiwat.

Menurut Istana Arau, secara keseluruhannya perbincangan dua hala itu mencerminkan iltizam bersama Perlis dan SBPAC untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan, memperluas jaringan kerjasama rentas sempadan serta mewujudkan lebih banyak peluang kolaborasi dalam pelbagai bidang demi kemakmuran serta kesejahteraan bersama rakyat Malaysia dan Thailand.