MELAKA, 13 Julai — Rakyat perlu menilai hasil kerja Barisan Nasional (BN) dalam memakmurkan Melaka sepanjang tahun pentadbirannya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau yang juga Pengerusi BN Melaka berkata naratif politik kebencian yang dimainkan oleh segelintir parti politik perlu ditolak oleh rakyat yang kini semakin menunjukkan kematangan dalam pentas demokrasi negara.
“Saya mengharapkan pentas politik demokrasi di Melaka ini melihat hasil kerja kami, bukan hasil daripada fitnah, hasutan dan kebencian yang tidak memberikan pulangan yang baik kepada keharmonian rakyat Melaka.
“Saya yakin rakyat Melaka berada pada satu tahap yang melihat bahawa hasil kerja daripada kerajaan yang sedia ada ini memberikan pulangan yang baik pada sektor ekonomi, pelancongan, pelaburan dan juga keharmonian rakyat negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.
Ab Rauf mengulas mengenai kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada Sabtu lepas, yang menyaksikan parti itu berjaya mengekalkan mandat apabila menang 48 kerusi DUN.
Beliau ketika ditanya mengenai sama ada rundingan kerusi telah diadakan dengan parti-parti lain memandangkan Melaka juga akan mengadakan PRN pada tahun ini berkata ia akan diumumkan apabila “tiba masanya”.
Tempoh tamat penggal DUN Melaka adalah pada penghujung Disember ini.
















Tinggalkan Balasan