KANGAR, 30 Julai — Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah kejayaan sebenar sukan tidak hanya terletak pada pingat yang dimenangi, sebaliknya pada nilai-nilai yang diterapkan oleh sukan itu.
Baginda bertitah sukan mempunyai keupayaan unik untuk menyatukan masyarakat merentasi sempadan, budaya dan bahasa.
Selain itu, baginda bertitah sukan juga mengukuhkan persahabatan, persefahaman dan kerjasama dalam kalangan negara melalui penganjuran pertandingan.
“Sepanjang kejohanan ini, kita telah menyaksikan standard kesukanan, disiplin, integriti, kecekalan dan sikap saling menghormati yang tertinggi. Nilai-nilai ini mewakili warisan sebenar kejohanan ini,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Piala Dunia Woodball ke-10 dan Kejohanan Woodball Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-26 di Dewan 2020 di sini, malam tadi.
Berangkat sama ke majlis itu ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah penganjuran kejohanan seumpama itu turut memberi sumbangan penting kepada sektor pelancongan, pertumbuhan ekonomi, pertukaran budaya dan meningkatkan kedudukan Perlis pada peringkat antarabangsa.
“Beta yakin pengalaman yang diperoleh daripada penganjuran kejohanan ini akan terus memperkukuh kebolehan kita untuk menganjurkan lebih banyak acara sukan bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.
“Kepada semua delegasi dan atlet antarabangsa, terima kasih kerana memuliakan kami dengan kehadiran anda semua di Perlis.
“Beta berharap anda semua mempunyai pengalaman yang menyeronokkan dan pulang dengan kenangan baik terhadap kemesraan, keramahan dan kekayaan warisan budaya negeri kami,” titah baginda.
Pada dua kejohanan itu, Malaysia meraih tujuh pingat emas, 12 perak dan sembilan gangsa.

















Tinggalkan Balasan