Sultan Pahang Berangkat Ke Istiadat Persandingan Tengku Puteri Ilyana Dan Pasangan

KUANTAN, 9 Ogos — Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Istiadat Persandingan anakanda baginda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia dan pasangan Christopher Lionel Froggatt di sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Turut berangkat mengiringi baginda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bersama paduka kekanda dan adinda serta kerabat bergelar.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan wakil Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Shaikh Mohammed Hamad Tahnoon Al Nahyan.

Menurut hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, pada majlis berkenaan pasangan pengantin dibawa masuk ke pelamin sebelum Istiadat Menyuap Nasi Semangat dizahirkan Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Meriam Sultan Ahmad Shah.

Pasangan pengantin diraja kemudiannya kekal di pelamin untuk meneruskan Istiadat Bersanding dan Merenjis yang dizahirkan oleh Al-Sultan Abdullah diikuti ahli keluarga.

“Baginda turut berkenan menyempurnakan Istiadat Meletakkan Panca Bicara sebagai tanda merestui dan meraikan pasangan pengantin sebelum bacaan doa oleh Mufti Pahang Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim,” menurut hantaran itu. 

Istiadat diakhiri dengan sesi bergambar bersama keluarga dan tetamu kehormat sebelum Sultan Pahang berangkat meninggalkan majlis.