Sultan Pahang Zahir Kebimbangan Gejala Sosial Dalam Kalangan Generasi Muda

PEKAN, 21 Okt — Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan gejala sosial dalam kalangan generasi muda masa kini.

Al-Sultan Abdullah bertitah baginda memandang serius isu berkenaan termasuk melibatkan kegiatan  penyalahgunaan dadah, budaya buli, perjudian digital dan pergaulan yang melampaui batas. 

“Lebih mendukacitakan apabila terdapat segelintir anak muda yang mudah terpengaruh dengan budaya kebencian serta penghinaan terhadap agama dan institusi, seolah-olah keberanian diukur melalui kelantangan mencaci dan memperlekehkan orang lain,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa menyempurnakan pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor (DTC) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak yang mewakili Menteri Besar Pahang.

Al-Sultan Abdullah bertitah mahasiswa seharusnya menjadi suara kebijaksanaan dan bukannya gema kebencian, selain berani menegur secara beradab serta menghormati perbezaan pandangan tanpa hilang pertimbangan.

Baginda turut mengingatkan mahasiswa supaya menggunakan kemajuan teknologi dan media sosial secara bijaksana kerana selain membuka ruang kepada pengetahuan, perkembangan itu turut membawa risiko penyebaran fitnah, keruntuhan nilai dan kecelaruan pemikiran.

“Janganlah kerana mengejar populariti di alam maya, hilang pertimbangan di alam nyata. Janganlah kerana ghairah menyuarakan kebebasan, sehingga terlupa akan batas kesopanan, kesusilaan dan tanggungjawab,” titah baginda.

Baginda bertitah institusi pengajian tinggi bukan sahaja bertanggungjawab melahirkan graduan cemerlang dalam bidang akademik dan teknologi, malah perlu membentuk insan yang amanah, berintegriti dan berakhlak mulia.