Tiga Wanita Warga Thailand Ditahan Guna Taktik Berniaga “Raih Simpati”

KOTA BHARU, 30 Julai — Tiga wanita warga Thailand yang menjaja makanan ringan di luar mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sekitar bandar ini, dipercayai menggunakan taktik “raih simpati” telah ditahan dalam Ops Mesra Bersepadu, malam tadi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata siasatan mendapati aktiviti itu bukan perniagaan dalam erti kata sebenar, sebaliknya satu helah untuk meraih sumbangan daripada individu yang keluar masuk di kawasan ATM.

“Malah, ada dalam kalangan mereka dipercayai mampu memperoleh hingga RM300 sehari hasil sikap pemurah masyarakat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata operasi yang diketuai Ketua Inspektor Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Mohamad Ali itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen, polis dan JKM.

Operasi berkenaan menyasarkan golongan gelandangan di beberapa lokasi tumpuan termasuk kawasan berhampiran bank, Dataran Muhammadi dan Dataran Bandaraya, selain diperluas ke kawasan pasar raya di Kubang Kerian serta Pasir Tumboh.

Che Samsuzuki berkata sebanyak lapan individu ditahan melibatkan tiga wanita warga Thailand, tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 48 hingga 70 tahun, selain seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.

Beliau berkata kanak-kanak itu ditemukan bersama ibunya warga Thailand di pekarangan sebuah bank di Jalan Kebun Sultan, manakala bapanya ialah warga Malaysia.

“Empat warga tempatan ditempatkan di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977, manakala bukan warganegara diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata JKM bersama MPKB-BRI turut memasang pelekat bertulis ‘Bijak Membantu Elak Tertipu’ di beberapa lokasi awam sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat supaya menyalurkan bantuan melalui saluran yang lebih sesuai dan mengelakkan eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.