ARAU, 4 Ogos — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melahirkan hampir 2,000 graduan dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor setiap tahun bagi menyokong industri tersebut sekali gus memacu bakat tenaga kerja baharu dalam industri berkenaan.
Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata universiti itu, komited menyokong aspirasi nasional di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), yang menyasarkan Malaysia melahirkan 60,000 tenaga kerja mahir dan jurutera menjelang 2030.
“Berdasarkan data kadar kebolehpasaran siswazah 2024 dan 2025, lebih 30 peratus graduan UniMAP membina kerjaya pertama mereka dalam sektor E&E,” katanya ketika berucap sempena Forum Dari Dasar Ke Industri Semikonduktor: Memacu Transformasi Malaysia Utara Ke Arah Kuasa Teknologi Global, di UniMAP di sini hari ini.
Zaliman berkata industri semikonduktor kini merupakan tunjang kepada ekonomi digital dunia iaitu daripada telefon pintar, kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik hingga pusat data semuanya bergantung kepada teknologi cip semikonduktor.
Beliau berkata pada peringkat global, Malaysia kini membuktikan keupayaan sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia, menyumbang tujuh peratus aliran perdagangan cip global serta menguasai 13 peratus pasaran dunia bagi pemasangan, pengujian dan pembungkusan (ATP).
“UniMAP akan terus memperkukuh kerjasama untuk menghasilkan kumpulan bakat bagi industri semikonduktor negara menerusi pelbagai program strategik seperti industri di kampus, pelantikan Panel Penasihat Industri dan Profesor Adjung Antarabangsa, serta penawaran pensijilan profesional yang diiktiraf industri.
“Kami percaya sinergi erat antara kerajaan, industri dan universiti merupakan kunci utama untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai hab semikonduktor yang berdaya saing pada peringkat global,” katanya.
Barisan panel forum itu terdiri daripada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Dr Mustapa Mohamed, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Mohamad Haris Kader Sultan dan Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Awam Malaysia, Micron Technology Inc Ahmed Zaki Moten.

















Tinggalkan Balasan