Unit K9 Bomba Terima Ahli Baharu, Labrador Lahirkan ‘Brave’

JOHOR BAHRU, 9 Mei — Unit Anjing Pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima satu lagi ‘ahli baharu’ apabila anjing K9 baka Labrador, Lottie, melahirkan seekor anak jantan pada 18 Mac lepas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata anjing di bawah seliaan Pegawai Bomba Nelson Karupak itu dinamakan sebagai ‘Brave’.

“Saya menamakan anak anjing yang baru dilahirkan ini sebagai ‘Brave’ dengan harapan bakal menjadi wira berkaki empat yang berani dan gagah dalam menjalankan tugas penyelamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 dengan tema “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara” di Plaza Angsana, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad.

Nga berkata ketika ini, JBPM hanya memiliki 34 ekor anjing pengesan dan masih memerlukan 56 ekor lagi bagi mencapai kapasiti operasi yang optimum.

Menyedari kepentingan unit K9, beliau berkata Kerajaan MADANI telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2.4 juta bagi perolehan 16 ekor anjing pengesan baharu dari United Kingdom. 

Sementara itu, sebagai langkah strategik jangka panjang, JBPM turut merancang membangunkan Pusat Operasi K9 di Bertam, Pulau Pinang yang akan melaksanakan program pembiakan domestik.

Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2026, yang berkonsepkan karnival selama dua hari itu diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Emas 50 tahun penyatuan JBPM. 

Acara turut diserikan dengan pertunjukan kawad kaki Detasmen Statik melibatkan 550 peserta serta 50 jentera dan kenderaan bomba, termasuk beberapa koleksi kenderaan dan jentera bomba milik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.