Yayasan MBI Salur RM2 Juta Perkukuh Ekosistem Pendidikan Selangor

KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (Yayasan MBI) menyalurkan RM2 juta menerusi Sumbangan Pembangunan Sekolah sekali gus memperkukuh komitmen memperkasakan ekosistem pendidikan di negeri itu.

Yayasan MBI dalam kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan itu adalah usaha menambah baik kemudahan pembelajaran dan infrastruktur sekolah yang mewujudkan persekitaran lebih selesa dan kondusif untuk guru serta murid.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata pendidikan antara agenda strategik utama Yayasan MBI dengan anggaran dua pertiga daripada keseluruhan inisiatif organisasi berteraskan pendidikan.

“Yayasan MBI melihat pendidikan bukan sekadar bantuan sosial tetapi sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan dan masa depan Selangor.

“Justeru, kami terus memberi tumpuan kepada inisiatif yang memberikan manfaat langsung kepada murid, guru dan institusi pendidikan,” katanya.

Pengumuman peruntukan itu dibuat pada Majlis Aspirasi Pendidikan Yayasan MBI 2026 hari ini, yang menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik dan menghargai komitmen warga pendidik yang menyokong agenda pendidikan negeri.

Antara inisiatif pendidikan utama Yayasan MBI ialah Program Jelajah Kembali Ke Sekolah (BTS), program bersama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK) yang menyediakan sokongan pembelajaran percuma.

Yayasan itu memaklumkan inisiatif tersebut mencerminkan pendekatan menyeluruh Yayasan MBI dalam memperluas akses pembelajaran dan menyalurkan bantuan terus bagi meningkatkan kualiti persekitaran sekolah.

Dalam pada itu, Yayasan MBI turut memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Pendidikan Selangor (JPNS) bagi memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun serta menepati keperluan sebenar supaya manfaat inisiatif dapat diperluas kepada murid, guru dan sekolah memerlukan.

Menerusi kerjasama dengan JPNS dan pihak berkepentingan, Yayasan MBI komited untuk meneruskan usaha membangunkan ekosistem pendidikan negeri yang lebih inklusif, berkualiti dan mampan selaras dengan aspirasi pembangunan Selangor. 

Sokongan berterusan kepada sekolah dan komuniti bukan sahaja memperkukuh pendidikan, malah menyumbang kepada pembangunan negeri dalam jangka panjang.