KUALA LUMPUR, 19 Mac — Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menawarkan Program Pengajian Kemahiran Komuniti Seni Prihatin kepada penggiat industri kreatif.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS Datuk Seri Eizlan Yusof dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu bertujuan menyediakan ruang dan akses pembelajaran kemahiran di peringkat pengajian tinggi kepada penggiat industri kreatif.

“Penggiat industri kreatif boleh mengikuti pengajian kemahiran berasaskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) melibatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Kursus Intensif Bahasa Inggeris.

 “Kursus ini akan dijalankan di Kolej Yayasan Felda bagi sesi kemasukan pada April, Julai dan Oktober 2021,” katanya. 

Beliau memaklumkan program ini terbuka kepada penggiat industri kreatif termasuk anak warga penggiat industri yang memenuhi beberapa kriteria iaitu pemohon merupakan warga tempatan, berumur 16 hingga 30 tahun, bujang, sihat tubuh badan dan bebas rekod jenayah.

Selain itu, Eizlan memaklumkan Yayasan Felda turut menawarkan Program Kemahiran Sepanjang Hayat iaitu kursus jangka pendek melibatkan bidang kulinari, pastri, tata sajian, asas komputer dan jahitan yang dikendalikan tenaga pengajar mahir Kolej Yayasan Felda.

Beliau berkata permohonan bagi mengikuti Program Pengajian Kemahiran Komuniti Seni Prihatin ini dibuka bermula hari ini sehingga 28 Mac 2021 melalui pautan https://forms.gle/bDodvzTKY5X45FWs6.

“Pemohonan yang berjaya memenuhi kelayakan akan dihubungi oleh pihak urus setia untuk saringan seterusnya,” katanya.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkaitan boleh dimajukan kepada Muhamad Ikmal Jamaluddin di talian 03-79682182 dan e-mel di muhamadikmal@finas.my atau Irda Kartini Irwan Helmi Jame di talian 03-79682182 dan e-mel di irdakartini@finas.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here