KUALA LUMPUR, 26 Jun – Pelabur institusi tempatan menjadi pembeli bersih untuk minggu keempat berturut-turut dengan nilai RM250.3 juta di Bursa Malaysia pada minggu lepas, menurut MIDF Research.

Dalam Laporan Aliran Dananya bagi minggu berakhir 23 Jun, firma penyelidikan itu berkata pelabur tempatan  menjadi pembeli bersih pada setiap hari berjumlah RM31.8 juta pada Isnin, Selasa (RM67.1 juta), Rabu (RM34.4 juta), Khamis (RM23.1 juta) dan RM94 juta pada Jumaat.

Berbanding pelabur asing, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih untuk tempoh 19 daripada 25 minggu dengan jumlah RM3.45 bilion, katanya.

Sementara itu, jualan bersih oleh pelabur asing telah diteruskan untuk minggu ke-10 berturut-turut berikutan mereka sebagai penjual bersih bernilai RM240 juta pada minggu lepas.

Menurut MIDF Research, sepanjang 10 minggu lepas, aliran keluar asing bersih berjumlah RM2.06 bilion.

Katanya pelabur asing sebagai penjual bersih pada setiap hari minggu lepas, sekali gus sebagai penjual bersih untuk sembilan hari dagangan berturut-turut.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing muncul sebagai penjual bersih sebanyak RM19.9 bilion pada Isnin, RM91 juta pada Selasa, RM17.7 juta pada Rabu, RM15.2 juta pada Khamis dan RM96.2 juta pada Jumaat, menjejaki sentimen lemah di Wall Street.

Menurutnya tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih minggu lepas adalah hartanah (RM14.5 juta), perkhidmatan kewangan (RM14.1 juta) dan teknologi (RM11.5 juta).

Sektor yang merekodkan aliran keluar terbesar adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM92.2 juta), tenaga (RM47.2 juta) dan perindustrian (RM34.5 juta).

Setakat ini, menurutnya warga asing telah menjadi penjual bersih ekuiti Malaysia selama 19 daripada 25 minggu dengan jumlah RM3.83 bilion.

Peruncit tempatan pula berdepan minggu dagangan yang bercampur-campur yang berakhir dengan jualan bersih RM10.3 juta, katanya sambil memaklumkan mereka sebagai pembeli bersih bernilai RM23.9 juta pada Selasa dan RM2.3 juta pada Jumaat, manakala sebagai penjual bersih bernilai RM11.9 juta pada Isnin, RM16.7 juta pada Rabu dan RM7.9 juta pada Khamis.

Setakat ini, menurutnya peruncit berperanan sebagai pembeli bersih untuk tempoh 13 daripada 25 minggu berjumlah RM381.6 juta.

Dari segi penyertaan, firma penyelidikan itu berkata terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan dalam kalangan pelabur runcit (-10.3 peratus), institusi tempatan (-19.6 peratus) dan pelabur asing (-31.0 peratus).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here