HAINAN, 20 April — Presiden China, Xi Jinping menyifatkan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) sebagai wadah dalam mewujudkan pembangunan dan saling menguntungkan untuk semua negara terlibat.

Beliau berkata, China komited kepada prinsip berbincang, bersama membina, berkongsi, mengekalkan konsep terbuka, hijau dan integriti bagi mewujudkan standard matlamat yang tinggi dan berterusan demi manfaat rakyat.

Xi berkata demikian ketika menyampaikan ucaptamanya pada majlis perasmian sidang tahunan Forum Asia Boao (BFA) melalui video, Selasa pagi.

Katanya, BFA yang ditubuhkan 20 tahun dahulu itu telah menyaksikan perkembangan dan memberikan sumbangan bukan sahaja dalam proses pembangunan China dan Asia, bahkan dunia.

Dalam perkembangan lain, Xi mengumumkan China akan mengadakan Persidangan Dialog Tamadun Asia Kedua sejurus wabak COVID-19 berjaya dibendung, bertujuan merapatkan lagi hubungan Asia dengan dunia menerusi dialog.

Sementara itu, katanya, China juga mahu merapatkan hubungan rakan kerjasama dalam sektor kesihatan, kesalinghubungan, pembangunan mesra alam, bersikap terbuka dan inklusif demi memberikan sumbangan kepada kemakmuran sejagat.

Tambah Xi, Parti Komunis China yang bakal menyambut ulang tahun ke-100nya tahun ini akan mengetengahkan China sebagai pembina keamanan dunia, penyumbang kepada pembangunan global dan pelindung tata tertib antarabangsa.

“China menentang hegemoni dan penggunaan senjata, sebaliknya sentiasa menjunjung pembangunan secara damai dan aktif membina hubungan antarabangsa baharu.

“China akan terus mengambil bahagian dalam kerjasama multilateral melibatkan sektor perdagangan dan pelaburan, mempercepat pembinaan pelabuhan perdagangan bebas Hainan, selain mewujudkan mekamisme ekonomi terbuka bertaraf tinggi,”  ujar Xi.

Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan pelbagai negara untuk turut sama berkongsi peluang pembangunan di pasaran China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here