TUARAN, 23 April  — Sebanyak 88 pakej pelancongan istimewa di Sabah dan Labuan ditawarkan untuk penjawat awam serta pesara kerajaan melalui program Pakej Cuti Penjawat Awam Sabah dan Labuan – Bagus Baini! yang dilancarkan di sini hari ini. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata 37 agensi pelancongan, 22 hotel serta lima produk pelancongan mengambil bahagian dalam program yang dilaksana dalam usaha untuk menyemarakkan pelancongan domestik itu. 

Beliau berkata pakej pelancongan itu melibatkan pelbagai lokasi menarik sekitar Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Tambunan, Tenom, Tuaran, Kudat, Kota Marudu, Tamparuli, Ranau, Sandakan, Tawau, Semporna dan Labuan. 

“Pakej yang menawarkan tawaran istimewa dengan diskaun eksklusif buat penjawat awam dan pesara serta keluarga ini bertujuan menghargai khidmat bakti mereka ketika negara dibelenggu pandemik COVID-19. 

“Selain tawaran penginapan, penjawat awam dan pesara juga boleh menikmati pakej produk-produk pelancongan menarik untuk kunjungan harian dengan penawaran diskaun harga tiket masuk sehingga 20 peratus,” katanya ketika berucap melancarkan program itu di sini hari ini. 

Beliau berkata pakej yang ditawarkan sehingga 31 Dis ini diharap dapat menarik seberapa ramai penjawat awam serta pesara kerajaan seluruh negara termasuk 1.2 juta ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). 

Penjawat awam boleh mendapatkan tawaran pakej ini dengan menggunakan pas pekerja mereka di agensi-agensi pelancongan terpilih dan maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang Tourism Malaysia https://www.malaysia.travel/deals-packages serta di laman Facebook Tourism Malaysia Sabah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here