JOHOR BAHRU, 14 Julai — Sebanyak 83 peratus rakyat di negeri ini telah mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19, titah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini.

Justeru, Tunku Ismail mahu bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) dan pegawai-pegawai perubatan ditambah bagi mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri ini, selain proses logistik pengedaran vaksin ke PPV di Johor turut dipercepatkan supaya bekalan vaksin sentiasa mencukupi.

“Sukacita ingin saya maklumkan bahawa 83 peratus Bangsa Johor telah berjaya mendaftar untuk menerima vaksin dan bagi mereka yang belum, saya ingin menyeru kepada anda untuk mendaftar secepat mungkin.

“Saya ulangi, jika imuniti kelompok dapat dicapai, maka pemulihan ekonomi Johor dapat bermula,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook rasminya HRH Crown Prince of Johor hari ini.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor berkenan mencemar duli melawat Hospital Permai untuk memeriksa proses pengedaran vaksin COVID-19 ke PPV di negeri ini.

Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan Malaysia kerana mempercepatkan program vaksinasi di semua daerah di Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here