KUALA LUMPUR, 30 Ogos  — Shopee melalui inisiatif Kotak Kasih Shopee akan menyumbangkan kotak bantuan makanan kepada 50,000 keluarga daripada komuniti yang kurang bernasib baik dan terpinggir di seluruh negara.

Platform e-dagang tersebut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), Food Aid Foundation untuk mengenal pasti dan membantu penduduk projek perumahan kos rendah, rumah kebajikan, golongan orang kurang upaya (OKU) dan Kampung Orang Asli.

Ketua Pegawai Operasi Shopee Terence Pang berkata Kotak Kasih Shopee merupakan satu daripada program jangkauan di bawah #ShopeeGivesBack yang bertujuan memberi kesedaran dan menggalakkan sumbangan kepada pelbagai organisasi kebajikan serta menyokong golongan komuniti terpinggir termasuk haiwan.

Antara sumbangan yang akan diedarkan terdiri daripada barangan makanan asas seperti beras, bihun, gula, minuman malt coklat, biskut, krimer, minyak masak, sardin dalam tin dan kopi serta sabun.

“Kami bersyukur kerana dapat membantu masyarakat yang memerlukan bantuan terutama ketika menghadapi wabak COVID-19 dan inisiatif ini tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasama daripada Felda serta Food Aid Foundation,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengurus Kanan KPF Trading Sdn Bhd Mohd Irwan Ahmad Sanusi berkata selain menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terpinggir, inisiatif ini dapat membantu peneroka Felda dengan menjadikan produk daripada Koperasi Permodalan Felda dan pengusaha sebagai barangan sumbangan Kotak Kasih Shopee.

“Kami juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan bagi golongan belia dari kawasan Felda di Negeri Sembilan untuk pembungkusan kotak bantuan makanan,” katanya.

Pengasas Food Aid Foundation Rick Chee berharap lebih banyak kerjasama seperti ini dapat dijalin antara pihak sektor swasta dan awam untuk memanfaatkan masyarakat setempat, terutamanya ketika ramai sedang berjuang untuk memenuhi keperluan hidup serta mata pencarian yang terjejas disebabkan oleh wabak COVID-19.

“Food Aid Foundation amat teruja kerana dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif untuk mengenal pasti komuniti setempat yang memerlukan bantuan dan membantu mengedarkan kotak bantuan makanan ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here