KUCHING, 30 Ogos  — Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengisytiharkan tiga kluster komuniti baharu dikesan, yang melibatkan rumah panjang masing-masing di daerah Meradong, Subis dan Tatau.

Menurut kenyataan JPBN hari ini, sejumlah 29 orang telah dikesan positif COVID-19 daripada 92 orang yang disaring melibatkan Kluster Sungai Ringin di Meradong.

Bagi Kluster Belinggai Ulu Niah di Subis, sejumlah 33 kes positif dikesan daripada 119 orang yang telah disaring dan 57 orang positif daripada 64 orang yang disaring melibatkan Kluster Nanga Takalit di Tatau.

Hari ini Sarawak merekodkan sejumlah 2,028 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan telah meningkat kepada 114,273 kes.

Selain itu, lima kematian baharu akibat jangkitan itu juga telah direkodkan, sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di negeri ini meningkat kepada 524 orang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here