ALOR GAJAH, 19 Nov  — Langkah kerajaan membenarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan poster dan biodata calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini menerima maklum balas positif.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata langkah itu bertujuan untuk memberi peluang kepada calon-calon yang bertanding memperkenalkan diri di samping membantu memudahkan rakyat membuat keputusan memilih wakil rakyat.

“Prinsipnya kita nak peluang yang luas kepada semua calon untuk memperkenalkan diri…kita tak berkempen untuk mereka (tetapi) kita beri peluang untuk mereka perkenalkan diri untuk membantu memudahkan rakyat membuat keputusan memilih wakil-wakil mereka.  

Semua diberi peluang kecuali mereka tidak mahu…ini semua termasuk calon Bebas,” katanya di sini hari ini.

Pada 13 Nov lepas, Annuar mengumumkan kerajaan membenarkan RTM untuk menyiarkan poster dan biodata calon yang bertanding pada PRN Melaka bermula 14 Nov dan penyiaran dilakukan sekerap mungkin, adil dan saksama berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada PRN berkenaan.

Annuar berkata perkembangan positif berkenaan turut telah dimaklumkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Tadi pun saya memaklumkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri bahawasanya perkara itu telah dilaksanakan dan kita akan buat penilaian untuk kegunaan pada masa akan datang sejauh mana (ia) berkesan dan sebagainya,” katanya.

Selain RTM, beliau berkata Melakafm turut memainkan peranannya manakala stesen televisyen swasta seperti Astro juga turut dilihat memberi ruang kepada wakil setiap parti yang bertanding berwacana.

“Misalnya Astro memberi ruang kepada wakil tiap-tiap parti berwacana dan saya tengok empat dari lima ahli panelis itu adalah merupakan calon-calon yang bertanding,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here