KOTA BHARU, 19 Nov — Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya membawa keluar seramai 21 petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang terkandas di Pos Tohoi, Gua Musang sejak semalam (18 Nov).

Pengarah Bahagian Udara JBPM Penolong Kanan Pesuruhjaya Nazili Mahmood berkata kesemua petugas tersebut terkandas di pos berkenaan, disebabkan terputus hubungan jalan darat akibat jambatan runtuh dan hujan lebat.

Beliau berkata pihaknya telah menerima panggilan untuk menyelamatkan petugas berkenaan sekitar 12 tengah hari semalam, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana cuaca buruk.

“Jadi kita mengambil keputusan untuk melakukan operasi menyelamat kesemua petugas berkenaan pada pagi tadi, yang mengambil masa selama tiga jam dengan menggunakan pesawat Mi-17.

“Seramai lima krew termasuk kapten dan juruterbang ditugaskan dalam operasi ini dan kesemua petugas kesihatan dari Hospital Orang Asli Gombak, Selangor ini selamat tiba di Subang pada 12.20 tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here