BEIJING, 7 Feb — China dan Singapura perlu meningkatkan kerjasama dalam bidang pembangunan hijau, ekonomi digital, bandar pintar, serta inovasi sains dan teknologi.

Menurut Presiden China, Xi Jinping, ia demi memupuk serta menyuntik pertumbuhan dan momentum baharu kepada pembangunan negara masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Halimah Yacob di Dewan Besar Rakyat, di sini, pada Ahad.

“Rasa saling percaya strategik China-Singapura terus diperkukuh, kerjasama pragmatik berkembang baik, dan kepentingan pembangunan kedua-dua negara kekal bersepadu.

“Ia diterjemahkan melalui perkongsian kerjasama yang komprehensif, selaras dengan perkembangan semasa,” kata Xi.

Beliau menegaskan, tumpuan harus diberi terhadap pembinaan projek sebagai tanda aras terhadap kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), melaksanakan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada tahap tinggi dan menggalakkan integrasi serantau.

Halimah berkunjung ke Beijing untuk menyaksikan perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 berkata, persembahan pada majlis tersebut secara tidak langsung memaparkan kebolehan dan keupayaan China.

“Asas hubungan China-Singapura amat kukuh. Singapura optimis terhadap Inisiatif Pembangunan Global dan bersedia meningkatkan kerjasama dengan China dalam bidang pembangunan hijau, ekonomi digital dan lain-lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here