KUALA LUMPUR, 9 Mac — Kerajaan akan terus melindungi rakyat daripada penularan penyakit COVID-19 walaupun negara akan beralih ke Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Beliau berkata proses peralihan juga perlu disusuli dengan perubahan daripada bergantung pada intervensi kerajaan kepada solidariti komuniti serta tanggungjawab individu.

“Kerajaan akan meneruskan program pemberian vaksin meliputi kepada golongan kanak-kanak dan suntikan dos penggalak.

“Kerajaan juga akan mempertingkatkan lagi opsyen rawatan kepada pesakit yang telah dijangkiti dengan ubat-ubatan yang baharu, dan memantau kes-kes positif yang dipantau dari rumah melalui Pusat Penilaian COVID-19 Secara Maya (VCAC) kita,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki ‘Fasa Peralihan ke Endemik’ yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran dalam pelbagai sektor dan pembukaan sepenuhnya sempadan negara. 

Mengenai solidariti komuniti dan tanggungjawab individu, Khairy berkata rakyat tidak perlu lagi dipaksa mengikut peraturan atau dikenakan tindakan saman, sebaliknya mereka harus memberi penekanan terhadap pematuhan SOP yang lebih ringan yang akan terus dilaksanakan.

“Kita tidak lagi mahu melihat ia dipaksa, disaman atau sebagainya sebaliknya mewujudkan pengudaraan yang baik di tempat kerja, melaksanakan sistem kerja dari rumah jika sesuai.

“Tanggungjawab individu pula lebih kepada patuh kepada kawalan kesihatan kendiri seperti membuat ujian sekiranya bergejala, pemakaian pelitup muka berkualiti tinggi dan mengamalkan penjarakan fizikal yang munasabah,” katanya.

Sementara itu Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini telah mengedarkan 2 juta Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) secara percuma kepada 57 peratus keluarga B40 bagi membantu rakyat menghadapi proses peralihan ke fasa endemik kelak.

Menurutnya, pakej bantuan itu akan diagihkan kepada baki keluarga golongan itu pada hujung bulan ini.

Menjawab soalan sama ada protokol fasa peralihan endemik akan disemak semula sekiranya berlaku peningkatan kes atau penularan varian baharu yang lebih ganas, Khairy berkata KKM bersedia dengan apa sahaja kemungkinan.

“Saya telah nasihatkan jemaah menteri bahawa protokol ini mesti dikaji jika berlaku sebarang kemungkinan dan kita percaya bukan hanya Malaysia, mana-mana negara pun, akan kaji protokol mereka termasuk pembukaan sempadan sekiranya berlaku situasi yang boleh menyebabkan sistem kesihatan lumpuh,” katanya.

Bagaimanapun katanya dengan data dan maklumat yang diperoleh sebelum keputusan peralihan itu dibuat, KKM berharap ia bersifat sehala dan tidak akan berpatah balik.

Mengenai situasi semasa jangkitan varian Omicron di Malaysia, Khairy berkata sehingga semalam (8 Mac), kadar penggunaan katil bukan kritikal untuk kes COVID-19, termasuk kes yang disyaki adalah 69 peratus manakala kadar penggunaan katil ICU bagi kes COVID-19 adalah 42 peratus dan kadar penggunaan ventilator untuk pesakit COVID-19 adalah 25 peratus.

“Jika dilihat secara keseluruhan penggunaan katil bukan kritikal termasuk untuk kes COVID-19 dan bukan COVID-19 adalah 70 peratus, manakala penggunaan keseluruhan katil ICU untuk kes COVID-19 dan bukan COVID-19 adalah 59 peratus.

“Secara keseluruhannya sistem kesihatan kita masih mampu mengendalikan kes COVID dan bukan COVID di negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here