KUALA LUMPUR, 9 Sept — Program lawatan familiarisasi Education Malaysia Global Services (EMGS) bersama delegasi institusi pengajian tinggi (IPT) Australia yang bermula 2 Sept lepas berakhir hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Mohd Radzlan Jalaludin berkata program itu diadakan bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Australia terutama dalam sektor pengajian tinggi.

“Wakil IPT Australia akan mengalami pandangan dan perspektif baharu mengenai Malaysia selepas mendapat rangkaian baharu dan khususnya memori yang tidak dapat dilupakan yang akan kekal seumur hidup untuk dikongsi bersama pelajar di Australia,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata lawatan itu diadakan di kampus universiti awam oleh wakil daripada lapan universiti Australia, Suruhanjaya Tinggi Australia, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, IPT Malaysia dan Majlis Pelajar Malaysia.

Mohd Razlan berkata lawatan itu adalah hasil kerjasama antara EGMS, Jawatankuasa Pengarah Antarabangsa Universiti Awam (JKPA) dan Education Malaysia Australia (EMA).

“Ia membuka jalan kepada delegasi untuk menyertai program mobiliti anjuran universiti awam dan membincangkan isu terkini dengan wakil universiti tempatan,” katanya. 

Program itu diakhiri dengan majlis penutup yang menyaksikan pelbagai acara termasuk Persidangan Meja Bulat dalam kalangan delegasi dan Majlis Makan Tengah Hari bersama wakil IPT Australia.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Dr Justin Lee dan wakil Program Mobiliti Pelajar Suraya Zahra Newell.

Terdahulu, delegasi itu melawat tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here