BENTONG, 20 Sept — Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 (Dana 1P 2.0) mendapat sambutan baik, apabila RM504,869 daripada peruntukan RM1 juta pada tahun ini sudah dibelanjakan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata setakat ini, Dana IP 2.0 telah dimanfaatkan 1,181 penerima manakala 401 lagi masih dalam proses saringan, dengan produk seperti komestik dan makanan merupakan antara produk paling tinggi menerima dana berkenaan.

“Kita menggalakkan lebih ramai usahawan untuk merebut peluang mendapatkan baki RM495,130 untuk memfailkan permohonan harta intelek di MyIPO, bagi memperoleh hak ekslusif ke atas produk mereka, sekali gus melindungi harta intelek berkenaan.

“Permohonan dana masih dibuka untuk permohonan cap dagangan, paten, reka bentuk industri, hak cipta dan petunjuk geografi. Dana ini merangkumi pembiayaan bagi fi rasmi pemfailan harta intelek, kos carian dan penderafan oleh ejen paten yang dilantik, bagi permohonan paten dan perbaharuan utiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Belia Berinovasi: Aspirasi Keluarga Malaysia Bersama Pelajar Maktab Rendah Sains MARAMRSM) Bentong dan Sekolah Daerah Bentong di sini hari ini, yang disertai 700 pelajar daripada 11 institusi pendidikan sekitar daerah ini. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Abdul Haris Lakar, Pengarah MARA Pahang Soffian Mustafa dan Pengarah KPDNHEP negeri Datuk Mark Ujin.

Nanta juga berharap MyIPO untuk lebih mempromosikan Dana IP 2.0, memandangkan kerajaan telah memperuntukkan keseluruhan RM4 juta bagi pelaksanaannya di bawah Rancangan Malaysia ke-12 untuk tempoh empat tahun bermula tahun ini.

Mengulas mengenai program hari ini, Nanta berkata ia sebahagian daripada inisiatif MyIPO untuk memberi pendedahan awal dan komprehensif, mengenai harta intelek kepada kumpulan sasar daripada usia muda.

Mengambil kira pencapaian pelajar sekolah yang semakin aktif berinovasi sehingga berjaya mencipta kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa, Nanta berharap pihak sekolah juga mengambil langkah proaktif memfailkan permohonan harta intelek mereka, selain turut boleh memohon Dana IP 2.0 bagi tujuan itu. 

Sebagai contoh kejayaan inovasi pelajar, Nanta merujuk kepada kejayaan Maryam Muzamir, 11, yang memenangi dua pingat emas di peringkat antarabangsa, menerusi inovasi makanan haiwan daripada siput sedut dan kehebatan 360 pelajar MRSM seluruh negara dalam pertandingan Robo Challenge MRSM Se-Malaysia 2022.

“Selagi hasil inovasi tidak difailkan bagi mendapat perlindungan harta intelek, ia boleh ditiru oleh pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus memberi ruang kepada pihak tersebut untuk mengeksploitasikan hasil inovasi pelajar,” katanya.

Pemilihan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong adalah kerana MRSM itu yang pertama memperkenalkan subjek teknikal, namun Nanta berharap pelaksanaan program itu dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah, supaya kepentingan perlindungan harta intelek dapat dihebahkan dengan lebih meluas.

Pada program itu, Nanta juga meluluskan peruntukan RM3,000 kepada setiap institusi yang mengambil bahagian hari ini, untuk digunakan dalam pembangunan reka cipta atau inovasi di sekolah terlibat. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here