KUALA LUMPUR, 20 Sept — Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memberi jaminan kadar sewa “Council Home” atau Rumah Majlis yang dibina di sekitar Kuala Lumpur adalah lebih rendah daripada harga pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata usaha itu untuk membantu warga kota membuat simpanan wang bagi membeli kediaman sendiri di kemudian hari dan juga menjadi harta menguntungkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).  

“Rumah Majlis akan memberi peluang kepada warga kota yang berpendapatan rendah untuk duduk di rumah lebih selesa daripada keluasan sekarang 400 atau 500 kaki persegi kepada 800 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air.

“Kadar sewa pula mesti separuh atau murah daripada harga pasaran semasa. Kalau harga pasaran sekarang RM1,500 hingga RM2,000, mereka perlu bayar separuh mungkin RM700 sahaja,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah Rumah Majlis Bandar Tun Razak, Cheras di sini hari ini.

Shahidan berkata DBKL menetapkan sasaran sebanyak 5,000 unit Rumah Majlis  dibina pada tahun ini denga empat projek sedang berjalan, iaitu di Sungai Udang, Segambut; Bandar Tun Razak; Bandar Baru Sentul dan Taman Desa Seputeh.

Dua lagi projek yang dirancang ialah di Bandar Sri Permaisuri dan Sungai Besi, katanya.

Bagi pembinaan Rumah Majlis di Bandar Tun Razak, ia dilaksanakan di atas tanah milik DBKL yang akan menyediakan 702 unit kediaman dengan kos keseluruhan projek sebanyak RM200 juta. Turut disediakan ialah kemudahan pasar raya, pasar basah dan dewan serbaguna.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here