KUALA LUMPUR, 19 Nov — Sebaik pusat mengundi dibuka awal pagi ini, calon-calon bertanding termasuk pemimpin parti tidak ketinggalan hadir awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menariknya ada dalam kalangan mereka turut sama beratur bersama pengundi lain sementara menunggu pusat pengundian dibuka.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengundi di Madrasah Manbail Ulum Sungai Nipah Darat, tiba kira-kira pukul 8.20 pagi untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Putrajaya yang juga naib presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin pula tiba untuk mengundi di Sekolah Rendah Agama Al-Najah, Presint 9, Putrajaya pada 8.20 pagi, manakala calon PN bagi Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba pada pukul 8.30 pagi untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, Hulu Kelang.

Penyandang yang juga calon PN Parlimen Kota Bharu yang juga Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula tiba kira-kira 7.48 pagi di Maktab Sultan Ismail (SIC), Kota Bharu bagi menanti pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga calon BN Parlimen Pontian juga menjadi antara individu terawal mengundi di SK Seri Bahagia di Benut, Pontian, pada 8 pagi sebaik pusat pengundian dibuka.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin yang juga calon BN Parlimen Kota Tinggi pula tiba di pusat mengundi SK Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor, kira-kira pukul 8.10 pagi bagi menunaikan tanggungjawab mengundi.

Calon BN bagi Parlimen Kemaman yang juga Pengerusi BN Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bersama isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud pula tiba di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada 7.55 pagi.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga calon BN Pulai tiba bersama isteri Rossana Jaafar serta ibunya Puan Seri Salbiah Abd Hamid, 84, tiba di pusat mengundi SK Agama Dato Omar Yusuf, Johor Bahru, pada 8.15 pagi.

Calon BN Kuala Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang pertama kali bertanding tiba di pusat mengundi SK Puncak Alam 2, kira-kira pukul 8.20 pagi.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof bersama isterinya Datin Seri Raziah Mohd Tahir selesai mengundi di SK Rakyat, Jalan Bolhassan, Kuching, Sarawak, kira-kira pukul 8.31 pagi.

Turut kelihatan tiba untuk mengundi di awal hari ialah calon BN bagi Parlimen Bandar Tun Razak  Chew Yin Keen yang mengundi di SK Seri Anggerik, Cheras.

Proses pengundian PRU15 bermula secara rasmi pada 7.30 pagi ini di Sabah, Sarawak dan Labuan manakala di Semenanjung Malaysia ia bermula pukul 8 pagi ini.

Turut diadakan serentak ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah yang tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.

Pusat mengundi di Semenanjung Malaysia akan ditutup secara berperingkat antara pukul 12 tengah hari dan 6 petang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here