ALOR SETAR, 4 Jan — Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat untuk memberikan penerangan secara terperinci mengenai projek Kedah Aerotropolis.

Beliau berkata pertemuan itu perlu diadakan kerana difahamkan Perdana Menteri beranggapan bahawa projek yang ingin dilaksanakan itu akan melibatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

Muhammad Sanusi berkata ini kerana Kedah Aerotropolis akan melibatkan pelaburan pihak swasta melalui konsep inisiatif kewangan swasta (PFI) dan tidak melibatkan pembiayaan kerajaan Persekutuan.

“Saya telah mengarahkan KXP Airport City Holding Sdn Bhd untuk mengatur pertemuan dengan Perdana Menteri kerana difahamkan beliau masih belum mendapat gambaran penuh mengenai projek berkenaan dan beranggapan projek itu akan menggunakan pembiayaan daripada kerajaan Persekutuan.

“Kalau guna wang kerajaan Persekutuan, dalam keadaan kantung kewangan yang kurang memberangsangkan, mesti keputusan yang diberikan adalah untuk menangguhkan projek berkenaan. Sebab itu, saya mahu berjumpa dan memberi penjelasan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Dilaporkan, antara komponen dalam projek mega Kedah Aerotropolis ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Muhammad Sanusi berkata untuk menjalankan projek itu, kerajaan negeri perlu mendapatkan kebenaran kerajaan Persekutuan khususnya melibatkan urusan pengambilan tanah manakala bidang kuasa untuk membangunkan projek berkaitan lapangan terbang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.

“Dua minggu lepas, kita telah menjalankan temu duga dan sesi penilaian kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk membangunkan Kedah Aerotropolis dan dua syarikat telah disenarai pendek. Ada beberapa lagi aspek teknikal yang akan dikenal pasti untuk syarikat berkenaan penuhi.

“Jadi, kerajaan negeri berharap kerajaan Persekutuan dapat memberi sokongan supaya projek itu dapat dilaksanakan dan membawa keuntungan kepada kemajuan ekonomi di Kedah dan negeri-negeri utara yang lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here