SINGAPURA, 29 Jan — Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yakin lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura esok (Isnin), akan mengukuhkan lagi hubungan antara dua negara.

Keyakinan itu dizahirkan beliau berdasarkan latar belakang dan profil perdana menteri yang sangat dikenali di peringkat antarabangsa, khususnya di ASEAN dan republik itu sendiri.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia di sini sempena lawatan sulung Anwar ke Singapura selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, pada 24 Nov lepas.

“Demikian yang kita saksikan bila YAB (Yang Amat Berhormat) buat kunjungan rasmi ke Indonesia dan Brunei…kali ini ke Singapura. Ia akan tingkatkan lagi profil Malaysia di peringkat antarabangsa, bina keyakinan pelabur untuk datang dan lakukan pelaburan ke Malaysia semula.

“Apa yang paling mustahak ialah kepimpinan negara yang ada dan kestabilan negara yang diwujudkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Ditanya sama ada isu-isu yang akan dibincangkan Anwar dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong turut melibatkan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR), Zambry berkata: ”ada kemungkinan hal-hal berkaitan dan cadangan projek infrastruktur akan dibincangkan.”

Katanya semasa pertemuan kedua-dua pemimpin itu juga, ia mungkin melibatkan perbincangan perjanjian sedia ada yang akan menjadi keutamaan selain cadangan masa depan.

“Saya tidak boleh kata secara pasti sama ada ia akan dibincang atau tidak,” katanya.

Antara isu tertunggak Malaysia dan Singapura ketika ini termasuklah maritim, air dan ruang udara.

Zambry menekankan projek laluan Sistem Transit Rapid (RTS Johor-Singapura yang dijangka siap pada 2026 menjadi keutamaan kerana ia akan beri impak yang baik dari segi pergerakkan antara kedua-dua negara.

Menteri Luar itu juga berkata Pemukiman Tahunan antara Malaysia dan Singapura akan menjadi mekanisme untuk “meleraikan sebarang permasalahan atau isu” dengan lebih “terperinci.”

Zambry berkata perdana menteri sentiasa komited untuk melihat setiap perkara yang selama ini jadi masalah dan halangan, agar dapat diselesaikan dengan segera.

Hadir sama di sidang media itu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here