SHAH ALAM, 22 Feb – Menteri besar dan ketua menteri dari enam negeri hari ini mencapai kata sepakat untuk menimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dalam dua minggu terakhir pada Jun nanti bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri tahun ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan di Facebooknya memaklumkan kesepakatan itu dicapai ketika sesi minum petang mereka di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 yang bersidang selama dua hari bermula hari ini.

Enam negeri yang akan mengadadakan PRN tahun ini ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Dalam hantaran yang sama Amirudin turut berkongsi foto beliau duduk bersama dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

“Semoga persefahaman ini dapat mempermudahkan usaha rakyat untuk merayakan demokrasi kelak, Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi yang turut memuat naik foto pertemuan menteri besar dan ketua menteri enam negeri itu dalam hantaran Facebooknya berkata beliau berpendapat tarikh paling sesuai bagi pembubaran DUN ialah pada minggu ketiga atau keempat bulan Jun 2023.

Ketua Menteri Pulau Pinang pula dalam catatan Facebook berkata: “Bagi tarikh Pilihan Raya Negeri, ia adalah tanggungjawab perlembagaan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membuat keputusan,”.

Ahmad Samsuri dalam hantaran Facebooknya berkata sekiranya diperkenankan Raja-raja Melayu dan Tuan Yang Terutama Negeri, kesemua enam menteri besar dan ketua menteri sependapat bahawa minggu ketiga atau minggu keempat pada bulan Jun masa paling sesuai untuk membubarkan DUN. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here