KUALA LUMPUR, 24 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba di perkarangan Dewan Rakyat kira-kira 3.53 petang dengan memakai baju Melayu berwarna biru.

Ia merupakan belanjawan pertama dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Pembentangan belanjawan yang menjanjikan pelbagai pengumuman penting dengan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kepentingan rakyat daripada semua lapisan masyarakat itu, disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen, radio tempatan dan media sosial.

Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 itu dibuat di depan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, dan akan dibahaskan di peringkat dasar selama enam hari bermula Isnin ini (27 Feb) sebelum sesi jawapan oleh menteri pada 8 dan 9 Mac.

Berdasarkan Takwim Persidangan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen kemudian akan membahaskan rang undang-undang itu di peringkat Jawatankuasa selama 10 hari bermula 13 Mac.

Perdana Menteri pada 20 Dis lepas membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang berkuat kuasa 1 Jan lepas bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here