KUALA LUMPUR, 6 Mac – Syarikat pemula niaga baharu yang diterajui wanita perlu menonjol dan meningkat diri mereka untuk berada di barisan hadapan bagi mengumpul dana dalam ruang modal teroka (VC), kata Malaysia Venture Capital Management Bhd (Mavcap).

Ini bagi menghapuskan jurang yang didominasi oleh syarikat pemula niaga yang diterajui lelaki yang terdiri daripada 91 peratus di Malaysia, menurut laporan oleh Persatuan Modal Teroka & Ekuiti Swasta Malaysia, pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Venture Capital Management Bhd (Mavcap) Shahril Anas Hasan Aziz berkata wanita telah memainkan peranan penting dalam membentuk industri VC dan sumbangan mereka tidak boleh diabaikan.

“Sebagai sebuah institusi yang memahami kepentingan kepelbagaian dan keterangkuman, kami mahu memperjuangkan pengurus dana wanita dan pengasas permulaan dengan menyediakan sumber yang mereka perlukan dan membuka peluang untuk mereka berkembang dan berkembang maju,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan perasmian pada sesi Mavcap Accelerating Ventures 2023 di sini hari ini.

Acara anjuran Mavcap itu bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa 2023 pada 8 Mac.

Shahril dalam pada itu berkata sebagai seorang yang mempercayai kepimpinan melalui teladan, Mavcap telah mencapai kemajuan positif secara dalaman untuk memastikan kakitangan dan lembaga pengarah terdiri daripada individu daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman, dan percaya bahawa kepelbagaian ini adalah penting untuk kejayaannya.

Beliau berkata menurut laporan itu, hanya 14 peratus pembuat keputusan dalam firma VC Malaysia adalah wanita.

Shahril juga berkata kerana kekurangan pengetahuan dan pendedahan, kebanyakan syarikat pemula niaga tidak menyedari peranan Mavcap dalam membantu mereka mengumpul lebih banyak dana, terutamanya untuk wanita.

“Berdasarkan pemerhatian kami, kebanyakan wanita tidak sanggup mengambil risiko. Selain itu, kami dapati mereka yang mendekati kami adalah graduan dari luar negara yang mempunyai sedikit pendedahan dan ingin mencontohi bidang (VC) di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Mavcap Noor Amy Ismail berkata syarikat itu berhasrat untuk menjadi mentor untuk usahawan wanita.

“Platform (sesi) hari ini adalah menunjukkan komitmen yang jelas oleh Mavcap untuk menyokong kejayaan usahawan dan inovator wanita,” katanya.

Noor Amy juga berkata bahawa Mavcap telah berjanji untuk melabur dalam sekurang-kurangnya 25 peratus syarikat yang diterajui wanita di Asia Tenggara.

Sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Mavcap telah ditubuhkan pada 2001 dan mempunyai nilai portfolio hampir RM5.0 bilion dalam dana yang diuruskan oleh firma itu dan rakan kongsi sektor swastanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here