KUALA LUMPUR, 21 Mac – Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) untuk menjadi sebahagian anggota komponennya.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata ketetapan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam. 

Pada 2 Mac lepas, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata parti itu telah menghantar permohonan untuk menyertai PN kepada Muhyiddin, Presiden PAS Tan Sri Hadi Awang dan Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau.

Hamzah berkata Majlis Tertinggi PN turut membuat ketetapan untuk mengekalkan penggunaan lambang gabungan politik itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan manakala lambang PAS digunakan bagi PRN Kelantan serta Terengganu.

Majlis Tertinggi turut mengarahkan jentera pilihan raya di enam negeri terbabit agar memperkukuh persiapan dan kesiapsiagaan di tahap tertinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here