BEIJING, 8 April – Presiden China Xi Jinping mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Perancis Emmanuel Macron di Dewan Besar Rakyat, Beijing pada Khamis.

Xi berkata kemantapan menjadi antara ciri menonjol dan aset yang tidak ternilai harganya dalam hubungan China-Perancis.

Menurut beliau, keutuhan jalinan itu harus dihargai oleh kedua-dua pihak.

“China kini bergiat dalam memantapkan pembangunan berkualiti dan keterbukaan pada paras tinggi. Ia bakal mencipta lebih banyak peluang pemasaran kepada Perancis,” kata Xi.

Presiden China itu menambah bahawa kedua-dua negara boleh memperdalam kerjasama dalam bidang seperti agrimakanan, aeroangkasa dan tenaga nuklear awam.

Selain itu, usaha juga dilakukan untuk memupuk titik pertumbuhan baharu dalam perdagangan perkhidmatan, pembangunan hijau dan inovasi teknologi, sambil menyokong pembangunan bersama pusat neutraliti karbon dan pemupukan bakat.

Xi turut meluahkan kesediaan China untuk terus bertindak secara terbuka dan kolaboratif dalam mengekalkan komunikasi dan koordinasi rapat dengan Perancis di bawah mekanisme pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kumpulan 20 (G20) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), di samping mengamalkan multilateralisme jitu dan menggembleng tenaga berdepan isu-isu seperti perubahan iklim dan tenaga.

Beliau mengulangi pendirian bahawa dasar China terhadap Eropah kekal mapan.

“Kami (China) akan terus melihat Eropah sebagai kuasa bebas dalam dunia multipolar, dan kekal komited terhadap hubungan China-Eropah yang tidak disasarkan, ditundukkan atau dikawal oleh mana-mana pihak ketiga,” tegas Xi.

Dalam pada itu, Macron berkata Perancis menghormati dan mengikuti dasar satu China.

“Saya membawa delegasi bersaiz besar dengan tujuan mempertingkat kerjasama dengan China dan menggalakkan interaksi dalam kalangan rakyat,” ujar beliau.

Macron mahu meneruskan komunikasi dan kerjasama rapat dengan China semasa mengendalikan isu perubahan iklim dan keselamatan makanan.

Perancis menghargai komitmen China dalam mematuhi Piagam PBB serta peranan positif yang dimainkan dalam menangani isu panas serantau dan antarabangsa.

Macron berharap agar komunikasi dan penyelarasan yang lebih rapat dijalankan antara dua negara ke arah mewujudkan keamanan dan kestabilan yang berkekalan di dunia.

“Perancis komited untuk mengamalkan dasar luar yang bebas, berpegang kepada autonomi strategik Eropah, dan menentang konfrontasi, perpecahan dan persaingan sesama blok,” kata Macron sambil menambah bahawa pihaknya tidak akan dan tidak pernah pilih kasih.

Kedua-dua presiden juga bertukar pandangan mengenai krisis Ukraine.

Presiden Xi menegaskan bahawa pendirian China dalam isu itu adalah konsisten dan jelas.

“Ia pada asasnya mengenai perihal memudahkan rundingan damai dan penyelesaian politik. Tiada ubat mujarab untuk meredakan krisis itu.

“Semua pihak harus bertindak dengan sewajarnya dalam usaha mencipta peluang gencatan senjata dan rundingan damai menerusi pemupukan rasa saling percaya,” jelas beliau.

China bersedia untuk terus berkomunikasi dengan Perancis dan memainkan peranan yang konstruktif ke arah menyelesaikan krisis berkenaan secara politik, tambahnya.

Macron turut memuji peranan penting yang dimainkan China dalam penyelesaian krisis Ukraine secara politik.

Beliau menggesa agar rundingan politik disambung semula dan krisis diselesaikan melalui cara diplomatik, sehingga mewujudkan keamanan yang berkekalan di Eropah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here