KUALA LUMPUR, 1 Mei – Hasrat beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, bergelar juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 tidak kesampaian selepas tewas di tangan gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada pentas akhir di Dewan Tertutup Sheikh Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr, Yew Sin-Ee Yi hampir mengotakan janji untuk bergelar juara Asia, namun dinafikan pasangan ranking keenam dunia itu apabila mereka tewas dalam pertarungan tiga set selama sejam.

Di set pertama, Rankireddy-Shetty tampak lebih mengawal permainan apabila sentiasa berada di hadapan sebelum Yew Sin-Ee Yi bertindak mengejar mata demi mata bagi mencatat kemenangan 21-16.

Berbekalkan momentum sedia ada, Yew Sin-Ee Yi, yang juga ranking kelapan dunia, mempamerkan corak permainan lebih kemas di set kedua dengan mendahului mata 13-8.

Bagaimanapun, pasangan negara itu gagal mengekalkan rentak permainan apabila banyak kesilapan dengan hantaran bulu tangkis separuh gelanggang dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya Rankireddy-Shetty untuk mengutip mata sehingga memperoleh kemenangan 17-21, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set penentuan, Rankireddy-Shetty, yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022, tampil dengan permainan agresif sehingga memaksa pasangan negara yang kelihatan tertekan terus melakukan beberapa kesilapan di jaring yang kemudiannya dihukum menerusi kekalahan 19-21.

Keputusan dicatatkan Yew Sin-Ee Yi menyaksikan mereka merekodkan kekalahan keempat di tangan beregu India itu sepanjang tujuh pertemuan.

Kali terakhir Malaysia menjadi juara beregu lelaki saingan BAC adalah pada edisi 2007 di Johor Bahru menerusi kejayaan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menewaskan rakan sepasukan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, 21-14, 11-21, 21-12.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here