BEIJING, 11 Mei – Presiden China, Xi Jinping, menekankan perlunya langkah jitu diambil untuk memastikan projek pembangunan Kawasan Baharu Xiong’an (XNA) terus melakar kemajuan.

Xi mengadakan lawatan ke Xiong’an, provinsi Hebei di utara China untuk melihat sendiri perkembangan terkini projek berkenaan.

Pada April 2017, China mengumumkan rancangan penubuhan XNA di lokasi kira-kira 100 kilometer dari barat daya Beijing, dengan objektif untuk meringankan beban Beijing yang berstatuskan ibu negara.

Xi sendiri terlibat dalam membuat keputusan mengenai rancangan itu dan pernah mengunjungi Xiong’an sebanyak dua kali dalam tempoh enam tahun lalu.

Stesen Kereta Api Xiong’an, infrastruktur simbolik projek XNA, merupakan tempat pertama yang dilawatinya.

“Stesen Xiong’an direka bentuk sebagai hab pengangkutan sehubungan itu adalah perlu untuk meningkatkan ketersambungannya dengan fasiliti lain di kawasan baharu berkenaan,” kata Xi.

Beliau berkata pelaksanaan projek XNA amat signifikan dan harus dipergiat lagi menerusi tindakan konkrit dan usaha berterusan.

Ketika melawat tapak pembinaan stesen tren antara bandar dan pusat perdagangan antarabangsa, Xi menyifatkan fasiliti pengangkutan sebagai nadi sesebuah bandar moden.

“Sistem pengangkutan yang cekap akan menjamin sesebuah bandar beroperasi secara sihat.

“Usaha perlu ditingkatkan untuk mewujudkan rangkaian pengangkutan yang berdimensi dan bersepadu, sekali gus menterjemahkan pelan perancangan berstandard tinggi kepada pembangunan berkualiti,” kata beliau.

Xi seterusnya meluangkan masa mengunjungi komuniti Nanwenying yang dihuni kira-kira 5,000 penduduk yang dahulunya tinggal di pinggir Xiong’an.

Beliau mahu keutamaan diberikan kepada aspek pekerjaan dan keusahawanan, selain berharap skim latihan ditawarkan kepada mereka yang memerlukan.

“Kawasan baharu itu hendaklah meneroka satu pendekatan baharu untuk merapatkan jurang antara bandar dengan luar bandar dan memacu pembangunan bersepadu ke arah kemakmuran bersama buat semua,” kata Xi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here