PUTRAJAYA, 17 Julai – Malaysia perlu mempunyai pendekatan untuk dilihat sebagai sebuah negara berkuasa tengah atau ‘middle power’ dengan mempunyai polisi pragmatis dalam mendepani cabaran geopolitik semasa, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. 

Beliau berkata Malaysia berada di posisi penting dalam situasi geopolitik semasa yang melibatkan persaingan sengit antara kuasa besar China dan Amerika Syarikat (AS) dan perlu ada polisi pragmatis dalam mendepani cabaran geopolitik berkenaan.

“Kita kena ambil pendekatan bagaimana hendak letak Malaysia sebagai ‘middle power’. Kita tahu kita bukan kuasa besar tetapi pada masa sama kita tidak boleh dilihat sebagai kuasa yang tidak mempunyai kesan langsung. 

“Tidak boleh dinafikan Malaysia berada di kawasan paling strategik ketika persaingan kuasa besar ini. Dengan Malaysia berada di kawasan perairan sangat sibuk seperti Laut China Selatan dan Selat Melaka, sudah tentunya Malaysia perlu jadi negara yang ada polisi pragmatis dalam melihat persekitaran yang berlaku, “ katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat kedua Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negeri di Wisma Putra di sini. 

Sehubungan itu, beliau berkata dasar berkecuali yang dirangka Malaysia sangat penting supaya tidak dilihat sebagai negara yang terlalu condong ke kanan atau kiri ataupun menyokong mana-mana negara berkuasa besar yang akan memberikan impak tidak seimbang kepada Malaysia. 

Katanya, Malaysia perlu memastikan setiap dasar berkecuali diambil memberikan kesan positif terhadap persekitaran geopolitik semasa termasuk di Asia dan Indo Pasifik. 

Mengulas mengenai mesyuarat hari ini, Zambry berkata ia membincangkan dua perkara utama iaitu kedudukan ekonomi dunia termasuk kesan daripada persaingan sengit daripada kuasa besar China dan AS terhadap negara lain seperti Malaysia yang kuasanya berada di tengah-tengah. 

Katanya, mesyuarat turut membincangkan cabaran geopolitik semasa dan apakah sebenarnya pendekatan Malaysia apabila ada negara tertentu menubuhkan kerjasama keselamatan seperti AUKUS (pakatan Australia, United Kingdom dan AS).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here