BAKU, 2 Okt — Pasukan misi Chang’e-5 China menerima Anugerah Pasukan Lawrence dalam Persidangan Astronautikal Antarabangsa Ke-74 (IAC) di sini, pada Ahad.  

Ketua arkitek misi Chang’e-5, Hu Hao, bersama-sama wakil-wakil dari pasukannya menghadiri acara penganugerahan itu.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan bahawa sampel Bulan yang dibawa balik oleh prob Chang’e-5 akan dibuka untuk penyelidikan antarabangsa.

Beliau mengalu-alukan para saintis dari seluruh dunia untuk bersama-sama menyertai penyelidikan dan berkongsi hasilnya. 

Chang’e-5 adalah misi pemulangan sampel Bulan tanpa pemandu pertama yang dijalankan oleh China dan ia juga projek teknologi angkasa yang paling rumit, serta dilengkapi teknik tercanggih.

Misi Chang’e-5 berjaya membawa pulang 1,731 gram sampel tanah Bulan, mewujudkan misi pengambilan sampel tanpa pemandu dengan jumlah sampel paling berat di dunia. 

Selain itu, Misi Chang’e-5 turut meletakkan asas untuk pembinaan stesen peneronaan Bulan tanpa pemandu dan misi pendaratan manusia di Bulan untuk masa hadapan.

Anugerah itu diberikan sebagai menghargai pencapaian pasukan Chang’e-5 dalam inovasi teknologi, penemuan sains dan kerjasama antarabangsa yang telah mendapat pengiktirafan tinggi dari rakan saintis sedunia.

Diperkenalkan pada tahun 2001, Anugerah Pasukan Lawrence merupakan penghormatan tertinggi yang diberikan oleh Akademi Astronautik Antarabangsa (IAA) kepada pasukan projek penerbangan angkasa atas pencapaian luar biasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here