KUALA LUMPUR, 10 Nov – Akhbar theSun yang dilancarkan semula semalam akan menampilkan laporan berita-berita semasa dari perspektif berbeza, selain mengetengahkan kisah-kisah di sebalik sesuatu berita, diceritakan dalam bentuk penulisan yang ringkas, jelas, tepat dan mudah, bagi memastikan pembaca mendapat gambaran penuh.

Majlis pelancaran semula akhbar itu di Bukit Kiara Equestrian and Country Resort semalam dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Pemangku editor pengurusan theSun Navjeet Singh berkata harga ditetapkan ialah RM1 senaskah, bagi memudahkan ia sampai kepada kelompok pembaca yang lebih luas, selain untuk membiayai kos dan terus membekalkan akhbar itu kepada pembaca pada kos yang minimum.

“Permintaan untuk akhbar theSun kini telah jauh melebihi bekalan, dan ia menyebabkan hanya mereka yang terawal sahaja akan dapat membelinya, dan biasanya sebelum 9.30 pagi ia sudah berada di pasaran, di kawasan-kawasan utama.

“Kami tidak boleh mencetak lebih banyak salinan untuk memenuhi permintaan semasa kerana kos pengeluaran yang tinggi, dengan kos kertas surat khabar yang dilihat meningkat sejak tahun lepas, lantas menyukarkan kami untuk mencetak lebih daripada 70,000 salinan sehari,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Navjeet berkata akhbar itu kini menampilkan lapan halaman tambahan, menjadikan tiap naskahnya mengandungi 32 halaman.

“Lapan halaman itu terdiri daripada berita komuniti tambahan, berita perniagaan (termasuk Bursa Malaysia), berita dunia, sukan di samping halaman tambahan mengenai standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), tenaga hijau, pertanian pintar atau perbankan dan insurans,” katanya .

AKhbar theSun dilancarkan pada 1 Jun 1993, asalnya sebagai ‘The Sun’, namun penerbitannya terhenti pada 30 Jun 1994, sebelum beroperasi kembali sebulan kemudian dan menjadi akhbar percuma pada tahun 2002.

theSun boleh diperoleh dari Isnin hingga Jumaat, diterbitkan oleh Sun Media Corporation Sdn Bhd, yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Media Berjaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here