BEIJING, 6 Dis – China dan Britain antara negara anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bersama memikul tanggungjawab penting dalam memelihara keamanan dan kestabilan dunia, kata Menteri Luar China Wang Yi.

Beliau berkata hubungan yang mantap dan sihat bukan sahaja selaras dengan kepentingan asas kedua-dua negara untuk jangka masa panjang malah penting dari segi strategik dalam mempromosikan keamanan dan kemakmuran dunia. 

“China dan Britain masing-masing menawarkan peluang pembangunan antara satu sama lain.

“Britain diharap mempunyai pandangan yang betul terhadap China dan menguasai hala tuju perkembangan hubungan dua hala dengan tepat,” katanya dalam perbualaan telefon dengan   Setiausaha Luar Britain David Cameron pada Selasa.

Wang Yi berkata China teguh mengikuti laluan pembangunan yang aman dan mengekalkan kesinambungan serta kemantapan dasar luarnya.

“China giat mempromosikan multilateralisme dan menentang tindakan membuli sepihak, menyokong perdagangan bebas dan menentang fahaman perlindungan. 

“Pembangunan China adalah hasil peningkatan kuasa aman dan pengukuhan faktor stabil di dunia.  “Dalam menghadapi situasi antarabangsa yang huru-hara dan cabaran global, China dan Britain seharusnya mengekalkan komunikasi dan dialog, mengukuhkan koordinasi dan mempergiat kerjasama,” kata Wang.

Sementara itu, Cameron berkata tiada sesebuah negara dapat menangani cabaran global secara bersendirian, oleh itu kerjasama dan komunikasi antara Britain dan China adalah selari dengan kepentingan kedua-dua negara. 

“Kami (Britain) komited untuk mengembangkan hubungan dengan China dan bersedia untuk mengekalkan komunikasi dengan China. 

“Kami menghargai tindakan China yang menyokong multilateralisme dan berharap China dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam isu antarabangsa dan serantau,” kata Cameron.

Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai krisis Ukraine dan isu-isu penting yang lain. 

Wang Yi turut mengulangi pendirian China dalam mendorong rundingan damai di samping menekankan bahawa China menentang sebarang tindakan yang menjejaskan hak serta kepentingan China yang sah dan penyalahgunaan sekatan sepihak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here