KUALA LUMPUR, 11 Dis – Hal berkaitan kos sara hidup, harga dan kekurangan bekalan barangan keperluan serta subsidi bersasar antara yang mewarnai pengisian kalendar isu-isu rakyat tahun ini – dengan pelbagai langkah progresif diambil kerajaan dalam melaksana langkah-langkah intervensi. 

‘Kegawatan’ minyak masak paket, telur dan beras di pasaran yang dialami beberapa ketika tahun ini, menyaksikan rakyat sedikit sebanyak agak panik, sekali gus menyuarakan kebimbangan berhubung perkara itu memandangkan ia melibatkan barangan keperluan asas. 

Paling mencuri tumpuan sudah tentu berhubung isu kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) susulan trend pengguna yang terpaksa beralih daripada membeli beras putih import (BPI) kepada BPT, ekoran kenaikan harga mendadak disebabkan tindakan India menghentikan eksport bahan mentah itu.

Tidak hanya berpeluk tubuh, kerajaan pada September mengumumkan empat langkah intervensi tambahan, antaranya mengadakan rundingan bersama 157 kilang komersial dengan menyerahkan 20 peratus pengeluaran padi kepada kerajaan supaya dapat diurus dan diedarkan oleh kerajaan selain melancarkan Op BPT. 

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut meminta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang mempunyai 1,400 cawangan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan lebih kurang 35 cawangan seluruh negara untuk mengedar beras tempatan kepada rakyat.

Bagi Sabah dan Sarawak pula, kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 setiap tan metrik bagi BPI mulai 5 Okt untuk membolehkan ia diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kg.

Tahun 2023 juga menyaksikan kerajaan memulakan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa, antaranya melalui penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa 1 Nov lepas, namun meneruskan mekanisme pemberian subsidi bagi telur gred A, B, C.

Langkah itu, menurut kerajaan adalah bagi mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi, memandangkan sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam.

Walaupun ramai menyuarakan kebimbangan keputusan itu dikhuatiri akan menyebabkan harga sumber protein itu naik, namun ironinya, tinjauan mendapati rata-rata peniaga menurunkan harga ayam antara 10 hingga 20 peratus, sekali gus memberi kelegaan kepada rakyat. 

Langkah penyasaran semula subsidi juga dapat dilihat pada Jun apabila kerajaan mengumumkan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass Through (ICPT) di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis 2023.

Ia menyaksikan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj atau RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj, membabitkan 99 peratus daripada pengguna domestik di Semenanjung, serta melibatkan kos subsidi elektrik sebanyak RM5.2 bilion.

Langkah penyasaran subsidi, yang turut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), sedikit sebanyak turut membantu kerajaan membuat penjimatan yang membolehkan ia disalurkan kepada rakyat dengan lebih efisien pada tahun ini. 

Ia antara lain dapat dilihat menerusi inisiatif Payung Rahmah, yang menyaksikan pelbagai program bermanfaat khusus untuk rakyat secara langsung seperti Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Menu Rahmah, Pakej Jalur Lebar Rahmah, Kad Diskaun Khas Menu Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Tidak itu sahaja, 2023 juga merupakan tahun yang menyaksikan kerajaan membelanjakan hampir RM8 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2023 kepada 8.7 juta penerima yang memanfaatkan hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia yang mencerminkan manifestasi keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat.

Malah lebih 210,000 penerima STR dalam kategori miskin tegar berdasarkan data e-Kasih, turut menerima SARA berjumlah RM600 bagi mendapatkan barangan keperluan makanan asas – dan itu adalah antara sebahagian langkah kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah berdepan cabaran kos sara hidup. 

Pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), satu daripada langkah intervensi yang menyasarkan peningkatan pendapatan golongan miskin tegar dan kumpulan B40 pula, telah memberikan manfaat kepada 4,100 isi rumah sehingga November ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here