PUTRAJAYA, 27 Feb – Malaysia dan Kemboja bersetuju untuk membentuk Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) tahun ini untuk meneroka potensi perdagangan, pelaburan dan pelancongan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata menerusi mekanisme perdagangan baharu ini, kedua-dua negara akan menimbang kerjasama antara Jabatan Kastam untuk memudahkan pergerakan barangan. 

“Kita mempunyai potensi besar dari segi meningkatkan kuantiti perdagangan minyak sawit, beras putih dan kementerian perdagangan kedua-dua negara akan menggunakan platform JTC untuk menangani cabaran ini dan mencari penyelesaian perdagangan dan pelancongan. 

“Pelaburan sudah ada tetapi kita perlu menjangkakan lebih banyak pelaburan ke Kemboja dan dari Kemboja ke Malaysia,” kata Perdana Menteri semasa sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Kemboja Hun Manet di Perdana Putra, di sini, hari ini.

Sementara itu Anwar berkata nilai pelaburan syarikat Malaysia yang melabur di Kemboja melepasi US$3 bilion setakat ini.

“Sudah tentunya, ini merupakan peluang yang amat besar dan Perdana Menteri Hun Manet memberi jaminan akan memberi perhatian dan sokongan seboleh mungkin,” kata beliau.

Sementara itu Anwar berkata Malaysia dan Kemboja akan mengkaji laluan penerbangan baharu untuk mengembangkan ketersambungan antara kedua-dua negara. 

“Kami membincangkan mengenai pelancongan dan menimbang 47 penerbangan dari Kemboja ke Kuala Lumpur dan dari Kuala Lumpur ke Kemboja. Saya bersetuju kami meneroka laluan baharu kerana terdapat potensi amat besar di kedua-dua negara.  

“Kami ambil maklum hakikat bahawa ASEAN mempunyai jalinan kerjasama yang memberangsangkan dalam banyak bidang sedangkan perdagangan dan pelaburan sesama negara sememangnya amat kurang dan oleh itu kami bertanggungjawab untuk memastikan ini akan dipertingkatkan dan akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” kata beliau.

Beliau juga berkata Malaysia telah berkembang menjadi pemain utama dalam industri pembinaan dengan pemasangan saluran paip tenaga dasar laut sejauh lebih 1,000 kilometer, memudahkan penghantaran tenaga boleh baharu dari Kemboja dan Laos ke Singapura.

Terdahulu, Anwar dan Hun Manet menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Kerjasama dalam Inovasi Kewangan dan Sistem Pembayaran antara Bank Negara Malaysia dan National Bank of Cambodia.

Anwar berkata MoU antara kedua-dua bank pusat itu suatu yang bermakna kerana ia merupakan salah satu usaha bagi menangani isu atau masalah dengan mata wang.

“Kita mencapai kejayaan dengan China dengan 25 peratus daripada jumlah perdagangan kita adalah dalam mata wang tempatan kita, dengan Thailand pada 18 peratus dan dengan Indonesia pada 20 peratus.

“Dengan Kemboja, saya fikir menggunakan mata wang tempatan sudah tentunya akan mengurangkan beban dan tekanan terikat hanya kepada dolar AS,” kata Anwar.

Kemboja adalah salah satu negara terawal menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada tahun 1957. Pada tahun 2023, Kemboja disenaraikan sebagai rakan dagang ke-9 terbesar Malaysia di rantau ASEAN.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja berjumlah RM3.02 bilion, dengan eksport dari Malaysia ke Kemboja bernilai RM2.35 bilion, peningkatan 1.6 peratus dari tahun sebelumnya.

Syarikat Malaysia telah melaksanakan sebanyak 162 projek di Kemboja, dengan pelaburan berjumlah RM14.4 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here