CYBERJAYA, 7 Mac – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan sesi libat urus bersama persatuan pengusaha shisha (paip air) untuk memastikan pematuhan agar tidak menyediakan sebarang perkhidmatan menghisap shisha di tempat-tempat larangan termasuk di tempat makan.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli berkata perbincangan turut akan diadakan dengan Majlis Perbandaran Sepang untuk menimbangkan tindakan-tindakan lain di bawah bidang kuasanya terhadap pengusaha shisha dalam usaha mengawal aktiviti itu.

Beliau berkata selain itu pemantauan susulan akan diteruskan KKM agar pengusaha shisha faham dan mematuhi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 memandangkan enam notis kesalahan telah dikeluarkan kepada individu yang menghisap shisha di kedai makan dalam Ops Tempat Makan di Selangor yang diadakan pada 5 dan 6 Mac lepas.

Dr Norhayati berkata terdapat enam kedai menyediakan perkhidmatan shisha di Cyberjaya dan satu daripadanya telah dikenakan notis kesalahan sebanyak tiga kali namun masih berdegil.

“Tindakan susulan yang diambil adalah pemantauan berterusan oleh KKM untuk memastikan aktiviti penyediaan menghisap shisha dapat dikawal,” katanya kepada media selepas Ops Tempat Makan di sekitar Cyberjaya, malam tadi.

Dr Norhayati berkata tujuan operasi penguatkuasaan adalah mendidik masyarakat tentang bahaya merokok dan menyeru agar orang ramai berhenti merokok kerana ia bahaya untuk kesihatan dan mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling orang yang merokok.

Ditanya sama ada kompaun yang rendah punca masyarakat masih merokok di tempat makan, beliau berkata KKM perlu perbanyakkan sesi pendidikan bukan sahaja kepada perokok malah kepada ahli keluarga dan komuniti agar mereka faham merokok termasuk asap rokok memberi impak besar kepada kesihatan termasuk komplikasi paru-paru, jantung dan buah pinggang.

Mengenai tindakan kepada individu yang menghisap rokok elektronik di tempat larangan, Dr Norhayati berkata individu tersebut akan diberikan notis manakala  sampel cecair rokok elektronik akan diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi ujian makmal. 

“Sekiranya ujian mendapati cecair tersebut mengandungi nikotin berasaskan tembakau maka kompaun akan dikeluarkan dibawah PPKHT 2004. Tindakan mengambil  sampel untuk ujian ini akan diteruskan sehinggalah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dikuatkuasakan nanti,” katanya.

Pada Disember tahun lepas, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan undian suara.

RUU itu antaranya memperuntukkan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD).

Ia juga menyaksikan pengguguran peruntukan berkaitan generasi penamat (GEG) iaitu larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here