NEW DELHI, 13 Mei – Pegawai kanan dari negara-negara Asia Tenggara dan India akan mengadakan rundingan seterusnya untuk mengkaji semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) pada Julai di Jakarta.

Mesyuarat keempat jawatankuasa bersama yang mengkaji pakatan perdagangan bebas itu berakhir di Putrajaya, Malaysia pada 9 Mei, kata Kementerian Perdagangan India dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mesyuarat tiga hari itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Mastura Ahmad Mustafa dan Setiausaha Tambahan di Kementerian Perdagangan India Rajesh Agrawal.

“Perbincangan bagi menyemak semula AITIGA, untuk menjadikannya lebih mesra perdagangan dan memberi manfaat kepada perniagaan di seluruh rantau ini, bermula pada Mei 2023. Jawatankuasa Bersama yang menjalankan kajian tersebut telah bermesyuarat empat kali setakat ini.

“Peningkatan AITIGA akan terus merancakkan lagi perdagangan dua hala,” tambahnya.

Mesyuarat jawatankuasa bersama seterusnya akan berlangsung dari 29 hingga 31 Julai di Jakarta.

Lapan jawatankuasa kecil telah ditubuhkan untuk menangani pelbagai bidang dasar AITIGA dalam kajian ini dan lima jawatankuasa tersebut telah memulakan perbincangan mereka, menurut kenyataan itu.

AITIGA telah ditandatangani pada 2009.

ASEAN merupakan satu daripada rakan perdagangan utama India dengan bahagian 11 peratus dalam perdagangan global India. Perdagangan dua hala itu berjumlah US$122.67 bilion dalam tahun kewangan 2023-2024.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here