KUALA LUMPUR, 17 Mei – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) akan mempertimbangkan cadangan mengenai keperluan menggubal undang-undang berkaitan pelepasan karbon dalam pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling Fasa Dua.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata NRES mengalu-alukan perbincangan dan maklum balas bagi mengukuhkan peraturan sedia ada demi memastikan udara yang lebih bersih dan persekitaran yang lebih sihat untuk semua rakyat di negara ini.

“Dengan iltizam ini, kementerian terbuka untuk mempertimbangkan cadangan Majlis Peguam mengenai keperluan dan keberkesanan undang-undang berkaitan pelepasan karbon dalam mencapai matlamat alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Isnin lepas, Badan Peguam Malaysia mencadangkan pengenalan undang-undang rasmi di Malaysia yang berkaitan dengan pelepasan karbon bagi meningkatkan penguatkuasaan pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Nik Nazmi berkata Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sedia ada merupakan asas dalam pengurusan pelepasan karbon industri dan kenderaan bermotor di Malaysia. 

Beliau berkata akta itu disokong oleh Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 (PUB 2014), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan dari Enjin Petrol) 1996, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan dari Enjin Diesel) 1996 dan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan daripada Motosikal) Peraturan 2003.

“Peraturan-peraturan tersebut menetapkan had nilai batas bagi bahan pencemar yang dilepaskan oleh premis industri dan kenderaan bermotor. 

“Selain itu, premis industri juga diwajibkan untuk memasang Sistem Pemantauan Pelepasan Berterusan (CEMS) yang turut menggalakkan kawalan kendiri dalam kalangan pemain industri,” katanya.

Menyedari limitasi peraturan sedia ada, Nik Nazmi berkata Jabatan Alam Sekitar mengkaji semula PUB 2014 secara aktif sejak 2021, meliputi semakan semula nilai batas pelepasan karbon sedia ada dan penambahan elemen baharu seperti kompaun dan caj alam sekitar.

Katanya, walaupun Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023, pindaan Fasa Satu telah diluluskan Parlimen pada 4 April lepas, NRES terus komited ke arah penambahbaikan berterusan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here