BEIJING, 1 Jun – China akan menjadikan pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib China-Malaysia sebagai panduan mendorong hubungan diplomatik yang stabil dalam pembangunan bersama, sekali gus menjadi contoh penting untuk membina komuniti berkongsi nasib di rantau Asia.

Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang berkata ini adalah selari dengan konsensus yang telah dicapai Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembinaan bersama komuniti berkongsi nasib China-Malaysia, di samping menggariskan pelan bagi hubungan kedua-dua negara pada masa depan.

Bagi merealisasikan perkara itu, Xuexiang menggariskan empat aspek utama termasuk memastikan hubungan China-Malaysia dalam pembangunan sebagai keutamaan mengikut dasar luar negara masing-masing selain terus menjadi rakan strategik yang saling mempercayai antara satu sama lain.

“Memperkuat komunikasi strategik untuk memastikan hubungan dua hala yang sihat dan stabil, mengikuti jalan pembangunan yang sesuai dengan keadaan negara sendiri dan menyokong antara satu sama lain dalam menjaga kedaulatan, keselamatan dan pembangunan.

“Kedua, kita mesti terus menjadi rakan yang bekerjasama untuk pembangunan bersama, memperkukuh pembinaan berkualiti tinggi menerusi Inisiatif Jalur dan Laluan dan merebut peluang revolusi teknologi dan transformasi industri serta membangunkan produktiviti yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Rumah Tamu Negara Diaoyutai di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Xuexiang turut berkata China bersedia untuk memperluaskan import produk yang berkualiti dari Malaysia selain sentiasa menyokong cadangan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama serta menjaga kestabilan rantaian industri dan bekalan.

Selain itu, beliau berkata China dan Malaysia perlu terus menjadi negara jiran yang baik dan mesra dalam mengatur pelbagai aktiviti persahabatan China-Malaysia.

“Memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan, sains, budaya, pelancongan, media, dan agama, mempromosikan pertukaran rakyat dan menggalakkan golongan belia di kedua-dua negara untuk saling belajar dan terlibat dalam usaha besar memupuk persahabatan China-Malaysia.

“Keempat, kita mesti terus menjadi rakan kerjasama dalam pelbagai bidang dan memajukan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan,” katanya.

Menyentuh mengenai Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, beliau berkata China akan menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan dan bersetuju untuk bersama-sama mengekalkan kedudukan pusat ASEAN dalam rangka kerja serantau yang damai, stabil, makmur dan mesra.

“Pada titik permulaan sejarah yang baru ini, kami penuh keyakinan untuk terus memajukan persahabatan China-Malaysia. Mari kita menjadikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik sebagai peluang untuk bersama-sama melangkah ke arah pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib China-Malaysia dan mencipta hubungan yang lebih gemilang pada 50 tahun akan datang,” katanya.

Malaysia dan China mula menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974 dan ini merupakan lawatan pertukaran pemimpin tertinggi kedua-dua negara sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here