TOKYO, 23 Julai – Gelombang haba berterusan melanda Jepun pada Isnin dengan suhu mencecah lebih 37 darjah Celsius di beberapa kawasan pada waktu pagi, menurut agensi cuaca negara itu.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata cahaya matahari yang terik mula menaikkan suhu di seluruh negara sejak pagi, dengan amaran strok haba telah dikeluarkan untuk 39 daripada 47 wilayah, lapor Xinhua.

Menjelang 11.30 pagi waktu tempatan, suhu telah mencapai 37.5 darjah Celsius di Bandar Daigo, Wilayah Ibaraki, 37.4 di Bandar Hamamatsu, Wilayah Shizuoka, dan 36.1 di pusat bandar Tokyo, menurut data agensi cuaca.

Suhu tertinggi pada siang hari dijangka mencecah 39 darjah Celsius di Bandar Gifu dan Bandar Kumagaya di Wilayah Saitama dan 38 darjah di bandar Saitama dan Nagoya, tambah JMA.

Pegawai cuaca menggesa orang ramai untuk mengambil langkah perlindungan yang menyeluruh, seperti mengelakkan keluar rumah seboleh mungkin dan berada di dalam ruang yang sejuk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here