PARIS, 12 Ogos – Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 melabuhkan tirai dengan penuh gemilang malam ini (awal pagi Isnin di Mlaysia) selepas 19 hari aksi sukan bertaraf dunia sebelum menyerahkan baton kepada bandar tuan rumah 2028 – Los Angeles (LA28) di Amerika Syarikat.

Upcara penutupan semakin meriah apabila bintang Hollywood Tom Cruise melakukan aksi mengagumkan dengan, melompat dari bumbung Stade de France diiringi dengan persembahan penyanyi Billie Eilish dan rapper Snoop Dogg yang mewakili tuan rumah seterusnya.

Paris 2024, yang secara rasmi bermula pada 26 Julai, menyaksikan kira-kira 10,500 atlet dari lebih 206 kontinjen bersaing dalam 329 acara daripada 32 jenis sukan di latar belakang mercu tanda kota Paris yang ikonik.

Temasya edisi ke-33 turut  mencipta legasi baharu dengan 125 rekod Olimpik dan 32 rekod dunia dipecahkan sejak pertandingan bermula pada 24 Julai, dua hari sebelum upacara pembukaan.

Upacara rasmi bermula dengan perarakan atlet memasuki Stade de France yang megah selepas persembahan budaya dan muzik di hadapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron serta disaksikan lebih 70,000 penonton.

Pemain golf wanita profesional negara, Ashley Lau  membawa Jalur Gemilang mengetuai kontinjen Malaysia seramai 10 ahli termasuk timbalan ketua kontinjen Datuk Nicol David, atlet terjun Nur Dhabitah Sabri dan Bertrand Rhodict Lises.

Selepas ucapan Presiden Jawatankuasa Penganjur Paris 2024 Tony Estanguet dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, bendera Olimpik diturunkan.

Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo, menyerahkan bendera kepada Bach, yang kemudiannya menyerahkannya kepada Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass.

Bandar California itu mengambil alih pentas utama untuk mempersembahkan apa yang mereka tawarkan apabila Sukan Olimpik diadakan pada 2028.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here